Dua kelahiran satu pengebumian

Berita itu seperti dibawa sepasang sayap lebar daripada api. Ia membakar semua bunga dan rerumputan di halaman. Ia menghanguskan sukmanya. Ia meratah ganas sekelumit harapan untuk mati tua di sisi anak lelakinya itu. Ia meninggalkan puing yang terapung begitu lama dalam kolong hidup menunggalnya. Dinding rumah menjadi pudar. Pintu pagar memperaga warna karatnya. Awan dan langit tidak kelihatan, terlindung jerebu pekat yang mengewap dari dalam kalbunya sendiri.

Berhari-hari rasa resah dan murung itu dibawa meringkuk dalam dirinya di atas lantai keras. Dia menunggu ketibaan musim yang dapat menenang dan menyabarkannya. Musim bersama angin yang dapat menolak segala warna kelabu-murung-duka yang mendekam dalam kalbu dan sukma, di dinding rumah, di pintu pagar, pada bunga dan rerumputan di halaman.

Ketika dia menangis di atas sejadah, berita itu tidak mahu pergi. Ia parut yang kekal dalam sejarah hidupnya.

“Sabarlah, Ibu,” pujuk jirannya. “Ibu berdoalah kepada Tuhan, agar dia terlepas dari tali gantung.”

“Ibu tak sangka betul,” jawabnya. Membiarkan air mata mengalir ke tebing pipinya.

Perjalanan hariannya dari rumah ke pasar atau ke kedai pakaian, untuk beberapa bulan telah dilencongkan takdir ke mahkamah. Ketika itu dia baru membelikan sebuah Kelisa untuk anak perempuannya berulang alik mengikuti kursus matrikulasi. Kereta kecil merah itu membawa sekali beban perasaan dua perempuan di dalamnya – ibu yang berasa kereta itu mulai menjadi penjara, dan seorang adik yang sering melihat potret abangnya terpadam dari album keluarga mereka bertiga.

Pihak pendakwa memberitahu mahkamah. Seorang anggota polis yang menyamar penagih dadah, mendekati anaknya di Jalan Petaling. Anaknya meminta ‘penagih’ itu datang semula pukul 4 petang. Pada waktu yang telah dijanjikan, dia datang membawa tiga sampul. “Dia ditangkap kerana mengedar 56.85 gram methamphetamine, bernilai RM11,250.00. Ujian air kencingnya negatif. Ini bererti tertuduh memang seorang pengedar yang berbahaya. Dengan ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya.”

Kalau jirannya tidak menasihati agar dia berdoa kepada Tuhan, dia sendiri memang akan tetap berdoa. Pagi. Petang. Malam. Bangun malam untuk bersembahyang hajat, mengingatkannya detik dua puluh empat tahun yang lalu, ketika terjaga malam terdengar bayinya merengek. Dia segera memasukkan susu tepung ke dalam botol. Menuangkan sebahagian air panas dari termos merah. Menambah sedikit air masak. Menggoncang botol seketika. Menitikkan susu botol ke belakang telapak tangannya untuk merasa kehangatan yang sesuai bagi hisapan bayi comelnya.

Yang Arif Hakim menyampaikan keputusan penghakimannya. Urutan peristiwa dan bukti kes begitu jelas. Pihak pembela gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah. “Dengan ini tertuduh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya, iaitu digantung sampai mati.”

“Sabarlah, Ibu.” Itu kata-kata yang didengarnya bagitu dia pulih. Bukan daripada mulut anak gadisnya, yang tampak gementar di sudut kamar mahkamah. Tetapi daripada seorang anggota polis yang selalu menghadiri sesi perbicaraan itu. Dia terpandang lencana namanya: Shukran.

beritaDulu dia menjadi tidak keruan ketika menerima berita anaknya ditangkap kerana mengedar dadah. Dia telah merasai bahana berita yang seperti dibawa oleh sepasang sayap lebar daripada api. Kini dia cuba belajar menerima kenyataan. Berminggu-minggu.

Bukan pertama kali dia belajar menerima kenyataan dalam hidup. Ketika anak lelakinya itu berumur enam tahun, dan anak perempuannya baru pandai berjalan, suaminya tiba-tiba menghilang. Suaminya mengisi masa menganggurnya setelah diberhentikan oleh syarikat atas dasar down-sizing pada zaman meleset, menjadi jurujual kereta terpakai. Tiga hari selepas suaminya lesap begitu saja, pengurus syarikat kereta terpakai itu menemuinya. Ingin tahu ke mana suaminya pergi, setelah membawa sekali wang deposit pelanggan.

Dalam kesukaran membesarkan anak-anak sendirian, dia tidak mahu; tidak pernah mengutuk suaminya. Apalagi di depan orang lain. Dengan gaji kerani di sebuah syarikat percetakan, dia bertekad membesarkan anak-anaknya. Sedaya yang mungkin. Dia menerima qadak dan qadar Tuhan seikhlasnya. Gerbang cinta di pangkal jalan hidupnya telah jauh ditinggalkan. Yang terbentang di depannya ialah sebuah wilayah sunyi, dengan sejalur lorong masa lampau yang membelok ke dalam kalbunya.

ASP Shukran tidak berasa puas dengan kerjaya rasminya. “Saya melibatkan diri dalam gerakan NGO untuk tolong membanteras pelbagai gejala sosial, terutamanya di kalangan anak-anak Melayu. Kalau saya tak kisah, saya bekerja secara rasmi saja sebagai anggota polis.” Aktiviti NGO itu dilakukan di luar waktu bekerjanya yang tidak mengenal batas masa.

Dia melihat lelaki itu sebagai jelmaan anaknya yang meringkuk di Penjara Kajang. Bukan jelmaan sepenuhnya. Wajahnya agak bundar, berkulit cerah. Tetapi tanda kehitam-hitaman pada dahi lelaki itu tidak dimiliki anak lelakinya, kerana anak lelakinya mungkin tidak pernah sujud begitu lama pada waktu malam di sisi Tuhan. Malaikat telah mencalit dahinya dengan tanda dari syurga.

Setahun dua dia disibukkan dengan kegiatan-kegiatan NGO bersama-sama ASP Shukran. Anak perempuannya telah melangkah masuk ke sebuah institusi pengajian tinggi. Tanpa anak kecil yang harus dibesarkan lagi, semakin giatlah Ibu menyertai kegiatan NGO, selepas waktu pejabat, atau pada hujung minggu.

“Kegiatan ini fardu kifayah kita,” ujar ASP Shukran. “Kenapa anak Melayu yang banyak terlibat dengan gejala-gejala sosial itu? Ceramah, ceramah juga. Saya kena pantau anak-anak saya. Ibu kena pantau anak gadis ibu juga. Dia macam mana?”

“Dia tak ada masalah,” jawab Ibu pantas. “Sejak kecil, dia memang berbeza dengan abangnya yang dalam penjara tu. Abangnya perengus. Mungkin sebab tak ada orang lelaki dalam rumah. Tak dapat kasih sayang bapa. Anak perempuan Ibu tak pernah sakitkan hati Ibu. Selalu sejukkan hati Ibu.”

“Ibu tak tanya kegiatannya di universiti tu?”

“Kadang-kadang tanya juga. Tapi tak ada masalah apa pun. Percayalah. Dia belajar, rajin bukan main. “

Ibu berasa belum cukup memuji anak gadisnya. “Kalau bawa kereta Kelisanya, berhati-hati bukan main. ‘Pakai tali pinggang keledar ibu, nanti polis tangkap’. Kalau dekat lampu isyarat, ‘Ah, lampu dah kuning, kena berhenti ni. Kalau langgar juga, polis tangkap’. Itulah yang selalu disebut, kalau Ibu tumpang keretanya.”

“Anak perempuan memang lain daripada anak lelaki,” ujar ASP Shukran.

Sebulan sekali Ibu melawat anak lelakinya di Penjara Kajang. Pertemuan 15 minit yang lebih banyak membisu daripada berkata-kata. Rasa marah yang ingin diluahkan telah tercicir di jalanan. Kata nasihat yang ingin dibisikkan, sebahagian besarnya hanya tergambar melalui pandangan mata redup. Pelukan kasih hanya terukir di hujung bibir kala berpisah.

Mahkamah Rayuan telah menolak permohonannya. Ibu belajar untuk sekali lagi menerima kenyataan. Untuk kelak menerima sekujur mayat yang telah sempurna dimandikan dan dikapankan oleh pihak penjara.

gejalaASP Shukran membawa keratan akhbar lama, tanggal 22 Oktober 1997, dalam musyawarah aktivis NGO petang itu. ‘Surat Akuan’ Nor Aishah yang mengisytiharkan dirinya keluar Islam.

“Ini bukan gejala baru,” kata ASP Shukran. “Kes Nor Aishah sudah lebih sepuluh tahun. Ini gejala yang paling menakutkan. Kegiatan fardu kifayah kita lebih bererti jika kita dapat membendung gejala ini. Kes Nor Aishah telah berlalu. Kes baru sentiasa muncul. Banyak anak muda Islam yang murtad.”

Ibu seperti hilang kesabaran untuk bertangguh. “Kalau dia mengaku murtad, mengapa tidak didakwa saja? Kata pemutus, sama ada seseorang Muslim itu telah murtad ataupun tidak, adalah terserah kepada Mahkamah Syariah.”

“Itu kes melibatkan akidah orang Islam,” bentak Ibu. “Mengapa Mahkamah Tinggi Sivil lebih berkuasa daripada Mahkamah Syariah?”

“Dalam kes Nor Aishah,” ASP Shukran bersuara sambil mengibarkan keratan akhbar lama itu. “Surat akuan Nor Aishah boleh ditafsirkan di bawah ‘Akta Akuan Berkanun’, yang disemak dalam tahun 1969, yang bererti hanya mengikat dirinya, bukan mengikat Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah.”

“Kalau hanya mengikat dirinya,” suara Ibu kian tinggi, “Mahkamah Syariah boleh mendakwanya. ASP, dengar sini. Seseorang pemandu yang langgar peraturan lalu lintas boleh didakwa. Seseorang yang menyeberang jalan, padahal jejantas telah disediakan, boleh didakwa. Ini kes orang Islam mengaku murtad. Keluar agama Islam. Ini kes melibatkan tauhid. Melibatkan akidah. Melibatkan neraka atau syurga. Mengapa tak boleh dakwa untuk selamatkan dia?”

“Pihak mana yang nak dakwa?” Suara aktivis yang tahu serba sedikit fasal undang- undang dan perlembagaan itu. “Sekarang ini belum ada undang-undang tentang prosedur menangkap, menahan, memberi kaunseling, menasihati orang murtad supaya insaf, meminta orang murtad supaya taubat, dan meminta orang murtad kembali ke jalan Allah. Belum ada.”

“Belum ada?” Mulut Ibu melopong. Ibu tampak kecewa betul. Kalau ada undang-undang tentang semua prosedur itu, yang diterima pakai oleh semua negeri, alangkah baiknya. Yang murtad boleh ditangkap. Boleh ditahan untuk diberi kaunseling, untuk dinasihati. Dengan cara itu yang murtad boleh bertaubat. Kembali mengucap dua kalimah syahadat. Menjadi Islam semula.

pasrahSeminggu menjelang hukuman gantung anak lelakinya, dia semakin pasrah untuk menerima kenyataan. Hatinya memujuk diri sendiri. Seburuk-buruk nasib anak lelakinya, tidaklah seburuk menjadi murtad yang akan menghantar roh anak lelaki itu ke neraka. Dalam sesi pertemuan kali terakhir di penjara, dia menasihati anak lelakinya berkali-kali. Dan berkali-kali menagih kepastian daripadanya.

“Apa yang kamu akan mohon kepada Tuhan, ketika tali gantung itu dimasukkan dari kepalamu?”

“Ya Rabbi, ampunilah dosa-dosaku, dan terimalah taubatku wahai Tuhan Yang Maha Pengampung, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

“Apa pula yang kamu ucapkan ketika tali itu mula dijerutkan ke lehermu?”

“Tiada Tuhan yang kusembah melainkan Allah, dan Muhammad itu Rasul Allah.”

“Dan kamu reda mendermakan beberapa organ dalam tubuhmu kepada pesakit yang memerlukan, tak kira bangsa dan agama?”

“Reda. Reda. Reda.”

Siang itu panas memijar. Bagi Ibu, siang malam seperti sama saja sejak tiga hari diresahkan insomnia. Selepas asar barulah mayat dijangka sampai, setelah dimandikan dan dikapankan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur. Kalau anaknya tidak mendermakan organ, sebelum zuhur mayat boleh tiba di rumah setelah dimandikan dan dikapankan di Penjara Kajang.

Apabila telefon di rumah Ibu berdering, dia mengangkatnya dan terdengar suara ASP Shukran. Baru pukul 10 pagi. Anak perempuannya yang telah berjanji untuk pulang awal pagi, belum sampai dari kampus. Dia berasa ASP Shukran menelefonnya terlalu awal dari Hospital Kuala Lumpur daripada waktu yang sepatutnya.

“Ibu kena datang ke sini sekarang,” pinta ASP Shukran. “Minta jiran hantar.”

Dalam kereta jirannya, Ibu berasa terkilan tidak bertanyakan ASP Shukran lebih lanjut. Kena lihat dan sahkan mayat anaknya? Ada borang hospital yang belum ditandatangani? Pihak hospital nak maklumkan nama penerima-penerima organ yang akan didermakan? Diberi peluang lihat wajahnya sebelum dikapankan? Atau apa?

Dia menggeletar, seperti dulu anak perempuannya menggeletar di sudut kamar mahkamah. ASP Shukran memapah tubuh ibu masuk ke bilik mayat.

“Saya kenal anak perempuan Ibu,” kata ASP Shukran. “Itu mayatnya,” tangannya menunjuk ke arah sekujur mayat yang masih lengkap bertudung, terbaring kaku di atas usungan.

Ibu menerpa memeluk mayat anak perempuannya. Dia menangis teresak-esak. Kadang-kadang agak meraung. Darah beku telah menutup luka di dahi anak perempuannya.

Dia ingin memeluk mayat itu puas-puas. Kalau boleh membelainya. Membelai manja seperti selalu dilakukannya, terutama pada bulan-bulan awal ditinggalkan suami. Mengusap-usap tubuh kecilnya yang baru pandai berjalan. Ketika itulah tangan Ibu terpegang sesuatu di balik tudung anak perempuannya. Tudung biru muda itu diselaknya. Dan Ibu terpandang lambang itu.

“ASP!” Ibu memanggil. Tangisnya berhenti tiba-tiba. Ditunjukkan loket salib itu.

ASP Shukran tergamam.

beg tanganIbu terpandang beg tangan anak perempuannya, yang terletak di hujung kakinya yang pucat. Beg mahal warna kuning keemasan itu dibuka Ibu. Ibu menyeluk perut beg, mengeluarkan dompet kecil wadah anaknya menyimpan kad pengenalan, lesen memandu, dan kad ATM. Ibu temui sekeping kad putih. Anak perempuannya telah menjadi ahli sebuah gereja di Petaling Jaya, sejak sepuluh bulan yang lalu.

ASP Shukran masih tergamam, ketika Ibu mahu meminjam telefon Nokianya. Dengan kad itu di tangan kiri, Ibu menekan nombor-nombor telefon gereja dengan jari jemari tangan kanannya.

“Datanglah ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur sekarang. Ahli gereja kamu mati kemalangan. Uruskanlah mayatnya.”

Lepas asar, Ibu ikut ke tanah perkuburan melihat anak lelakinya dikebumikan. Mungkin ada larangan bagi seorang perempuan ke tanah perkuburan, tetapi Ibu melanggarnya. Ibu ingin melihat mayat anak lelakinya yang telah bertaubat, yang telah mengucap dua kalimah syahadat sebelum digantung sampai mati, dimasukkan ke liang lahad. Ibu lebih memilih pengebumian ini – anak lelakinya banduan yang mati di tali gantung – daripada pengebumian anak perempuannya yang terpelajar dan selama ini tampak taat setia tak berdosa – yang mati murtad.

Hanya segelintir jirannya ikut ke tanah perkuburan. Juga ASP Shukran. Ketika meninggalkan tanah perkuburan, Ibu berasa semua benda di sekelilingnya menghilang: Pohon-pohon. Bangunan. Kenderaan. Burung-burung. Semua warna alam. Segala bunyi. Dia melangkah longlai di sebuah wilayah sunyi, atas lorong yang membeluk ke dalam kalbunya.

Baru dia rasakan keanehan peristiwa yang berlalu begitu pantas di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur pagi tadi. Kenapa dia begitu cepat membuat keputusan menyerahkan mayat anak perempuannya yang telah murtad kepada pihak gereja? Kenapa dia hanya menangis sebentar, kemudian begitu tabah dan pasrah? Kenapa dia tiba-tiba hilang keinginan untuk melihat bagaimana mayat anak perempuannya diuruskan dan disemadikan oleh pihak gereja? Mungkinkah, apabila sukma ditimpa malapetaka demi malapetaka, akhirnya tidak ada apa-apa lagi yang harus disedihkan?

Ya, semuanya berlaku dan berlalu begitu pantas di bilik mayat itu. Ke mana pergi rasa kasih sayangnya? Rasa sedihnya? Rasa berangnya? Rasa takutnya? Rasa jijiknya? Rasa hairannya? Mungkinkah dia tidak dapat memilih keputusan yang lebih waras akibat insomnia tiga hari menjelang penggantungan anak lelakinya? Insomnia yang membuat matanya sentiasa membuka pintu kalbunya. Pintu tempat semua rasa melangkah keluar daripada hidupnya.

Mungkin beberapa minggu lagi. Apabila batang bunga puding di kuburan anak lelakinya telah mengeluarkan tunas daun baru. Apabila akar kemboja telah menyentuh jasad mereput, dan ranting-rantingnya mengukir kudup bunga putih. Mungkin ketika itu dia dapat mengingat kembali rinci segala yang telah berlaku – perbuatan dan keputusannya – di bilik mayat itu.

Tinggalkan jawapan