Oleh Aidil Khalid
Makanya, di loteng sepi tempat biasa eksperimen demi eksperimennya dijalankan itu, dia telah kalah dengan emosi. Dia lalu melalak melolong seorang diri, melompat-lompat bagaikan kera dalam sangkar yang terkena sergah oleh tuannya yang garang.
“Uuuuu… lululu… lelele.…,” sambil terkangkang-kangkang dia menggayakan mimik beruk chimpanze, dengan suara yang nyaring. “Walala, walala, walolo, walolo….,” dia menepuk-nepuk buntutnya, sambil menggoyang-goyangkannya. Kedengaran bunyi bedebab, bedebub, krek, krek, apabila kakinya menghentam-hentam lantai papan usang loteng tersebut.
Gembira benar dia, gamaknya, dengan hasil rekaannya itu.
Dan sambil terus dirasuk hantu beruk itu, dia terus berkelakuan tanpa siuman lagi. Dia tidak merasa malu, kerana dia sedang seorang diri sahaja di loteng tempatnya bekerja. Tidak ada orang lain. Yang ada, cuma wayar-wayar, himpunan pelbagai sampah sarap cip-cip yang hendak dilupuskan, pemutar skru, besi-besi buruk, mentol-mentol lampu yang bersepah atas lantai, kertas-kertas lakaran projek, spana dan entah apa-apa lagi yang benar-benar menjadikan ruangan dalam loteng itu sesak. Tidak dilupakan, dua tiga buah komputer yang telah hanya tinggal rangka kerana isi-isi di dalamnya telah diambil dan digunakan bagi menjadikan ciptaannya itu.
“Wuuuulololo….,” dia menjerit lagi penuh takjub penuh ujaan. Nyaring sekali jeritannya itu, sehingga kalau ada yang melihat, tentu akan dapat melihat anak tekaknya yang bergoyang-goyang saat dia memekik sambil terkinja-kinja tanpa arah. Mimik mukanya pula dikemat-kemutkan dengan mata terbeliak, lidah terjelir seperti tarian tradisi suku kaum Maori. Dan saat dia sedang melompat penuh kegilaan itulah kakinya telah terlanggar salah satu dari rangka komputer di atas lantai, sehingga dia tersungkur jatuh.
Bedebub! Lantainya bergegar hebat. Punggungnya disergah sakit.
Lebih teruk daripada nangka busuk. Lalu dia menggosok-gosok punggungnya yang pedih itu, sambil tersengih-sengih sendirian seperti kerang busuk. Mungkin malu kepada diri sendiri. Tapi, ah, apa yang hendak dimalukan? Tak ada orang yang melihat kelakuan beruknya itu. Lebih-lebih lagi, dia telah berjaya mencipta suatu ciptaan yang akan merubah dunia dan isinya. Dia telah mencipta sejarah yang besar hari ini!
Memang pun dia patut gembira sampai sedemikian rupa sekali kerana ciptaannya ini adalah ciptaan yang luar biasa, yang terlalu istimewa sehingga tidak pernah terjangkau oleh fikiran manusia. Dia bangun, sambil kedua-dua tangannya masih lagi pada punggungnya yang pedih. Kemudian dia melangkah perlahan-lahan ke arah cermin buruk yang berdiri dengan rangka kayunya, di sudut loteng. Dia perhatikan bayangan dirinya. Dalam-dalam.
Dalam bayangnya itu, dia ternampakkan Thomas Edison yang mencipta mentol, dia ternampakkan adik-beradik Wrights yang mencipta pesawat terbang, dia ternampakkan Grahame Bell yang mencipta telefon, dia ternampakkan Benjamin Franklin yang menemui elektrik, dia ternampakkan Guglielmo Marconi yang mencipta radio, malah dia juga ternampakkan wajah skema Bill Gates yang menciptakan perisian Microsoft. Tangannya di punggung dibawakan ke atas, diusapnya kulit wajahnya sambil memerhati refleksi diri pada permukaan cermin. Ya, inilah wajah seorang pencipta bersejarah. Malah lebih bersejarah, lebih hebat daripada saintis-saintis terdahulu itu!
Kemudian dia menggumamkan perlahan-lahan, “Eureka… eureka….,” sebuah gumaman yang kononnya dilafazkan oleh Archimedes saat di dalam kamar mandi, apabila menemui kenyataan bahawa isi padu sesuatu boleh diukur dengan melihat pada air yang terkeluar apabila bahan itu ditenggelamkan.
Perlahan pada awalnya, tetapi kemudian semakin diulang, semakin kuat. “Eureka, eureka… eureka….,” dipekik-lolongkannya dengan kuat, sambil menggoyang-goyangkan buntutnya di hadapan cermin, melihat telatahnya sendiri dengan penuh teruja. Gilanya sudah kembali. Entah kenapa, perkataan “Alhamdulillah” langsung tidak terlintas di fikirannya untuk dilafazkan. “Wukulele… walalala….,” suaranya terus dinyaringkan sambil buntutnya terus tergedik-gedik.
Tapi tak lama dia dapat meraikan kegembiraan itu. Sebab saat dia mendengar namanya dipanggil, dia jadi berderau darahnya. Ada orang di loteng bersama-sama dia? Ada yang melihat telatah gilanya melompat seperti beruk? Aduh, malunya! Malunya! Malunya! Wajahnya tiba-tiba merona merah. Sangkanya tak ada orang tadi.
“Kau tak patut sedemikian sekali gembira sebab ciptaanmu belum sempurna kauselesaikan,” begitulah bunyi suara yang menegurnya itu. Suara siapa?
Daripada refleksi cermin yang di hadapannya, dia cuba mencari suara siapa.
Tidak ada.
Tidak ada sama sekali siapa-siapa yang kelihatan. Keningnya dikerutkan. Kemudian dia berpaling.
“Siapa? Siapa itu? Siapa di sana?” Dia bertanya, mulai tertanya-tanya dan risau. Lotengnya itu di tingkat paling atas rumahnya. Suasananya taram-temaram. Dengan setiap pergerakan akan menghasilkan bunyi berkeriat-keriut papan-papan lantai loteng tersebut. Kalau terjadi apa-apa, tak akan ada siapa-siapa yang tahu dia di sini berseorangan. Memangnya projeknya ini dilakukan secara rahsia semenjak beberapa tahun yang lalu (kerana takut nanti dikatakan gila oleh orang).
“Kau tanya aku siapa, sedangkan kau belum memberikan aku nama.”
Berderau darahnya. Ternyata… ternyata….Ah!
Ternyata yang berbicara itu adalah hasil ciptaannya! Robot – ya, kalau boleh dinamakan robot sebab sebenarnya ciptaannya ini terlalu canggih untuk panggilan itu – yang diciptakannya itu!
“Kau selaku pencipta aku, Farid, seharusnya memberikan nama kepada aku,” kata hasil ciptaannya itu kepadanya lagi. Robot itu sedang duduk di atas lantai yang berselerak, sambil bersandar di dinding papan loteng tersebut. Kedua-dua kakinya dilunjurkan ke hadapan. Saat berbicara, cahaya pada skrin matanya menyala mengikut patah-patah kata yang diucapkan. Namun suaranya begitu mirip suara manusia. Tidak kaku. Tidak sama sekali seperti suara mesin.
“Apa? Apa yang kau longokan?” soal robot tersebut (sekali lagi, itu pun kalau layak dipanggil robot) apabila melihatkan Farid terdiam dengan rahang bawahnya terjatuh. Mata farid pula memandang penuh takjub.
“Aku… aku…,” suara Farid tersekat-sekat kerana masih antara percaya dengan tidak. “Aku masih belum memikirkan nama yang harus diberikan kepada kau,” kata Farid akhirnya. “Kenapa tidak kau fikirkan sahaja nama apa yang kau mahu?”
Nah, begitulah bagaimana segala-galanya telah bermula. Robot yang ingin diciptakan Farid ternyata telah menjadi terlebih natural daripada yang disangkakan. Bukan sahaja mempunyai keinginan untuk diberikan nama, malah robot yang telah mencadangkan agar dirinya dipanggil Romansia (gabungan antara kata RObot dan MANuSIA) itu malah telah mempunyai keinginan yang melangkau lebih jauh lagi.
Suatu hari, Romansia telah mengadu kepada Farid. “Kau hanya menciptakan aku seorang diri. Aku sunyi.”
“Kau mahu aku ciptakan kau, pasangan? Ah, itu mustahil!”
“Tidak ada apa yang mustahil. Bukankah kaumenciptakan aku juga, adalah sesuatu yang mustahil? Bukankah saat sebelum adik beradik Wrights menciptakan pesawat terbang juga, mereka dikatakan gila kerana membayangkan manusia akan terbang seperti burung? Bukankah sebelum terciptanya televisyen juga, idea bahawa imej yang datangnya beribu-ribu batu jauhnya itu adalah sesuatu yang mustahil? Malah segala ciptaan-ciptaan moden hari ini pernah suatu ketika dahulu dianggap mustahil. Tetapi yang mustahil itu boleh ditukar menjadi tidak mustahil, sekiranya tindakan itu dimulakan dengan rasa percaya. Wrights dapat terbang akhirnya kerana mereka bermula dengan percaya. Aku pernah dengar lagu yang kaupasang di radio, liriknya mengatakan, ‘jika kaufikirkan kau boleh… kau hampir boleh melakukan,’” kata Romansia, merujuk kepada lagu bertajuk Fikirkan Boleh.
“Baik, kalau begitu, aku akan ciptakan saja sebuah lagi Romansia yang sama seperti kau.”
“Kau fikir aku ini robot homoseksual? Aku mahukan perempuan!”
“Perempuan hanya untuk manusia. Kau bukan manusia.”
“Kalau begitu, aku mahukan yang betina.”
Farid tersedak mendengar kata-kata Romansia itu.
“Lalu yang betinanya nanti boleh kau namakan Romantina – gabungan perkataan RObot, MANusia, dan beTINA,” tambah Romansia lagi.
Farid tidak dapat menahan lagi. Lalu dia ketawa terbahak-bahak dengan usul ciptaannya itu, sambil menggeleng-gelengkan kepala, penuh tidak percaya. Memang, memang ciptaannya ini sudah terlebih pintar. Dalam usia sebulan dia dicipta, begitu banyak ilmu yang telah ditangguknya. Memang pun Farid menciptakan Romansia sebagai sebuah robot yang mempunyai kemampuan belajar – segala apa yang dipelajarinya akan tersemat ke dalam cip memorinya. Sebab itu, tidak hairanlah apabila robotnya yang seekor ini begitu kreatif mengusulkan idea-idea, kerana dia melihat sendiri bagaimana Romansia begitu ghairah membaca buku-buku yang tersusun di rak-rak kutubkhanah rumah Farid. Bukankah membaca itu boleh menajamkan kreativiti cip memorinya?
“Kenapa? Kau masih merasakan mustahil?” soal Romansia, barangkali agak terkilan dengan sikap Farid yang sepertinya memperlekehkan cadangannya itu dengan gelak tawanya. “Bukankah sudah aku katakan, bahawa tidak ada apa yang mustahil?”
“Mustahil… mustahil….,” Farid terus menggeleng-gelengkan kepalanya sambil terus dengan tawanya.
“Kau pernah dengar tentang Yakjuj Makjuj?” Cahaya pada matanya terus sahaja berkelip mengikut petah bicaranya sungguh pun tiada mulut yang terbuka – kerana suaranya hanya keluar dari speaker di bawah tempat sedutan angin yang kurang lebih meniru hidung manusia. Sedutan angin itu disedut bukan kerana memerlukan oksigen, sebaliknya sebagai laluan udara bagi tujuan penyejukan enjin Romansia supaya tidak terbakar.
Romansia menyambung lagi, “Aku pernah baca satu dongeng yang menceritakan bagaimana Yakjuj Makjuj tercipta. Menurut dongeng itu, dulu ada seorang putera yang tubuhnya begitu besar seperti gergasi, sehingga sukar baginya mencari pasangan yang sesuai. Maka dia berasa kesunyian. Lalu dengan autoriti sebagai seorang putera, dia telah memanggil semua artisan-artisan terulung di negerinya datang. Lalu dia pun memberikan titah, ‘aku mahu kalian cari jalan, dengan segala kepakaran yang ada, ciptakan aku seorang pasangan yang sekufu dengan aku.’ Para artisan pun bertungkus-lumus berusaha sedaya-upaya. Bayangkan, bukannya mudah menciptakan pasangan yang ‘hidup’ untuk si putera. Namun akhirnya, dengan campuran bermacam-macam unsur, termasuk unsur-unsur yang kotor dan jijik ke dalam patung yang diciptakan itu – entahkan najis, entahkan mani – patung itu pun siap dan apabila si putera bersetubuh dengan patung itu, dikatakan syaitan telah memasuki rahimnya. Lalu lahirlah, generasi Yakjuj Makjuj.”
Dipendekkan cerita, akhirnya Farid mulakan juga dengan projek menciptakan pasangan buat Romansia. Dia berasa bertanggungjawab kerana selaku penciptanya, dia harus memberikan ciptaannya itu pasangan supaya Romansia tidak kesunyian. Kasihan dia kalau sudah dicipta, tetapi dibiarkan sengsara.
Proses menciptakan Romantina bukanlah proses yang mudah. Prosesnya sangat ruwet, makanya tidak perlulah diperikan secara rinci akan hal tersebut di sini, sebab kalau diperikan juga, tentu para pembaca akan menggeleng kepala tidak mengerti. Lebih-lebih lagi proses itu tidak hanya melibatkan cabang sains fizik, kimia dan biologi, tetapi juga melibatkan proses metafizika. Cukuplah sekadar dinyatakan di sini bahawa percubaan demi percubaan dilakukan oleh Farid. Kegagalan demi kegagalan terhasil. Tetapi dengan percaya, maka seperti kata Thomas Eddison, kegagalan yang dialami itu bukanlah sebenarnya kegagalan, sebaliknya merupakan iktibar tentang cara yang salah. Kalau Thomas Edison mencuba lebih 10000 kali sebelum berjaya menghasilkan mentol, makanya Farid telah mencuba dengan jumlah yang tidak kurang juga, sebelum akhirnya Romantina tercipta dan apabila Romantina siap, Romansia adalah robot yang paling bahagia. Mereka bermadu kasih dan mereka begitu cepat membiak. Maka lahirlah generasi kedua Romansia-Romantina. Sekali lahir, tiga ekor yang keluar dan seperti cepatnya mereka membiak, begitu jugalah cepatnya mereka membesar dan kemudian membiak lagi, melahirkan generasi yang berikutnya, ketiga, keempat, kelima….
Namun kegembiraan yang dikecapi oleh Romansia-Romantina itu tidak dapat dikongsi bersama-sama oleh Farid, si pencipta. Bukan kerana dia telah mati, sebaliknya kerana ternyata generasi-generasi Romansia-Romantina yang lahir terkemudiannya begitu cepat lupa kepada jasa si pencipta yang telah menciptakan generasi pertama.
Sehinggakan pada suatu hari, seekor Romansia yang diberikan nama timang-timangan oleh bapanya sebagai Darwin, telah dengan penuh gaya yang kononnya gaya intelektual, mengatakan, “Pada kiraan saya, berdasarkan kajian yang telah saya lakukan, generasi Romansia yang pertama telah terhasil daripada tindak balas semula jadi yang bermula dengan suatu kebetulan apabila komponen-komponen wayar, cip memori, processor dan bermacam-macam lagi yang bersepah-sepah di atas lantai telah bersatu akibat daripada satu goncangan yang hebat pada lantai loteng.”
BIODATA:
AIDIL Khalid yang dilahirkan pada 30 Jun 1984 di Kuala Lumpur, memulakan dunia penulisan kreatifnya dalam genre puisi pada 2005 sebelum beralih ke cerpen. Beberapa cerpen peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007 ini berjaya menembusi majalah dan akhbar arus perdana dan turut berjinak-jinak dalam genre skrip drama radio. Pelajar tahun dua, Jurusan Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) meminati karya Allahyarham Pramoedya Ananta Toer, Datuk (Dr) A Samad Said dan Faisal Tehrani.
Difailkan dalam: Cerpern | Tagged: berita harian, cerpen, malay


